Thursday, April 26, 2007

Tawhid panduan hidup

Kalimah Tauhid yang menjadi asas kekuatan umat adalah perkara yang cukup penting dalam mengisi dan memantapkan jati diri umat. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini. Nilai dan kekuatan umat kita dari mula lagi adalah memastikan perkara asas Tauhid dan kefahamannya benar-benar bersumberkan kepada Al-quran dan Al-Sunnah yang menjadi paksi kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Justeru itu, kita harus kembali membuat penilaian dan pembaikan diri kita dengan membuka dimensi baru agar umat kita membina kefahaman tauhid ini dengan amalan-amalan islami yang berdasarkan kepada ajaran Islam bersumberkan kepada peringatan Baginda Nabi SAW. Jika kita benar-benar memahami kepentingan memahami elemen tauhid dan menjadikannya amalan hidup kita maka saya yakin dan percaya kita bersedia dan dapat melahirkan generasi yang berkualiti.Marilah kita bermula pada hari ini sama-sama mempertajamkan ilmu kita dengan mendalam elemen tauhid dan aqidah, agar diri kita sebagai pendakwah tidak berada dalam suasana yang tidak konsisten sebelum berhadapan dengan cabaran dan realiti masyarakat yang akan kita hadapi nanti. Barangkali kita semakin alpa bahawa nilai dan kekuatan yang telah kita lalui sebelum ini adalah sangat menitikberatkan persoalan pengurusan , program, imej dan pentadbiran. Namun kita semakin tertinggal untuk membicarakan tugas kita sebagai pembawa risalah Nabi, menjelaskan kebenaran dan keadilan, memerlukan kepada bukan sahaja kekuatan luaran tetapi lebih daripada itu adalah kekuatan ruhani dan dalaman yang mana jika ia tidak diambil peduli bakal memberi kesan yang negatif kepada umat kita. Oleh itu marilah kita mulakan langkah dengan mempertingkatkan kualiti dalaman ahli dan pimpinan dengan mendekatkan diri dengan Tilawah al-Quran, pemahaman dan tafsiran yang bersifat haraki agar kefahaman tidak hanya berhenti setakat di minda tetapi terjelma dengan perbuatan. Marilah kita menanam iltizam untuk mempertingkat amalan-amalan solat-solat sunat, qiyamullail yang merupakan asas kekuatan yang hanya dapat dirasa bagi mereka yang melakukanya. Telah banyak peristiwa dan sejarah yang dinukilkan dalam kitab-kitab sirah di mana Allah Taala telah memberi kejayaan kepada hambanya yang sentiasa merancang dan merencana agenda perjuangannya dan sentiasa mendekatkan diri dengan aktiviti kerohanian. Begitu juga kita pernah mendengar bagaimana Allah menewaskan dikalangan hambanya yang menjauhkan diri daripada Nya dari pada kejayaan yang sepatut menjadi hak mereka. Apakah kita tidak pernah menilai akan hakikat dan realiti yang dijelaskan tersebut.

Sayid Abul ‘Ala al-Maududi dalam bukunya Beberapa Peringatan untuk para dai menyebutkan bahawa betapa elemen Tauhid yang menjadi asas kekuatan iman seseorang itu tidak boleh dijadikan perkara kedua dalam hidup. Sebagai daei kita harus memahami terlebih dahulu kepentingan dalam hubungan kita dengan Allah. Jangan kita sentiasa hanyut dengan ujian dunia dan hampir menenggelamkan kefahaman kita dengan Tuhan semesta Allah.Oleh yang demikian, sahabat sekelian, bermula pada kali ini marilah kita sama-sama menanamkan azam untuk membina kefahaman kita dalam konteks Aqidah dan Tauhid kita kepada Allah -dengan mempelajari ilmu-ilmu tauhid dengan tokoh-tokoh kita yang cukup baik. Janganlah kita sentiasa merasa cukup dengan ilmu yang ada semata-mata, namun harus ada jiwa untuk meningkatkan kualiti kerohanian dalam hidup berjamaah.

Antara Siasah Parti vs Siasah Ummat

Islam adalah agama yang menitikberatkan soal umat keseluruhannya dengan mengenepikan kepentingan peribadi lebih daripada kepentingan ummah. Sebab itu dalam konteks sebuah negara islam kita harus sedar bahawa mengambil kira masa depan ummah adalah satu bentuk pembinaan iman yang sangat dituntut kerana jika kita tidak mempedulikan orang lain maka kita bukan dikalangan umat Nabi MUhammad SAW. Justeru dalam soal ekonomi, politik, sosial dan sebagainya kita harus mengutamakan kepentingan ummah lebih daripada kepentingan peribadi, kelompok sendiri kerana ianya akan merugikan. Begitu juga dalam konteks ekonomi, pembahagian kesamarataan ekonomi harus diberikan agar rakyat dalam sesebuah negara akan dapat merasai akan kemakmuran dan kemajuan yang dibina.

Dalam konteks politik khususnya, Islam memang memberi galakkan untuk kita mengembangkan kuasa semata-mata untuk menegakkan syiar dan syariat Islam. Kerana dengan kuasa jugalah adalah salah satu elemen yang mampu menggerakkan agenda Islam untuk diketengahkan.Nabi SAW juga berpolitik dalam hidupnya. Tetapi siasah yang dilakukan Nabi itu adalah siasah untuk mendaulatkan syariat islam. Mengenepikan kepentingan sesuatu bangsa. Mewujudkan kesejahteraan umat melalui keadilan dan kekuatan sosial yang menjadi teras dalam memajukan negara.

Siasah dalam konteks parti juga adalah salah satu gelanggang yang dimainkan dalam suasan politik demokrasi hari ini. Setiap pihak akan berusaha untuk mengenengahkan kekuatan dan kemampuan masing-masing untuk menjadi contoh untuk membangunkan negara. Dalam konteks membina kekuatan dan menonjolkan kemampuan masing-masing, kita tidak perlulah untuk membina kerangka pemikiran lama iaitu menafikan hak dan kekuatan orang lain semata2 untuk memastikan pihak tertentu berkuasa. Tidak salah untuk berkuasa kerana dengan berkuasa kita mampu melaksanakan hak dan tanggungjawab untuk negara tetapi jangan sampai setiap tindakan tidak mempunyai garis panduan dan etika yang sebenarnya.

Siasah dalam Islam untuk menegakkan Islam dan mengimarahkan bumi Allah ini. Jika ianya dilaksanakan berdasarkan panduan ini maka sudah pasti kita tidak mudah terjerumus dengan sikap dan perbuatan yang bertentangan dengan Islam. Bukankan ianya demi umat bukan demi pihak kita atau pihak mereka?

Para pemain dan politikus juga haruslah bertenang dalam mengemudi arena siasah yang dipandunya. jangan sampai kita melakukan sesuatu yang nampak pada pandangan umat ianya baik tetapi hakikatnya ianya bertentangan dengan nilai dan norma sosial dan syariat agama. Orang sering berkata bahawa kata-kata politikus ini kurang boleh dipercayai? Benarkah? apakah yang menyebabkan ianya terjadi sedemikian? Hakikat yang sering kita dengar ada kelompok politikus yang sering menjadikan janji untuk membangunkan umat. Oleh kerana wang dan kuasa menjadi tunggang mereka maka seringlah janji menjadi mainan dalam setiap tindakan. Bukan tidak boleh berjanji tetapi sesuatu janji haruslah bertanggungjawab dan tidak semudahnya untuk dilakukan apatahlagi jika ianya tidak mampu dilaksanakan.

Siasah dalam konteks parti ada baik dan ada buruknya. Ini kerana kekhuatiran membawa kepada sikap tidak mempedulikan dikalangan umat kerana semakin mual dengan karenah politik yang berlaku. Dikalangan umat yang diminta bukan sahaja makan, pakai, rumah dsb tetapi bagaimana kehidupan yang dialami ini akan dipastikan sejahtera, aman, rukun damai, tiadanya konflik masyarakat, tiadanya jenayah yang boleh merosakkan masyarakat dan sebagainya. Kalau dikalangan politikus tidak boleh bersama dalam membangunkn umat aoakah kita hendak lihat umat boleh berjaya.

Wednesday, April 25, 2007

Kerja dakwah tugas siapa?

Orang sering mengatakan kerja dakwah ini tugas ustaz, ustazah dan orang yang berlatarbelakangkan bidang agama. Memanglah zahirnya begitu. Tetapi dalam hakikat yang sebenarnya tugas dakwah dan menyampaikan dakwah adalah tugas semua. Tidak kira siapa kita asalkan kita seorang muslim, mukmin yang beriman dengan Allah, rasul dan ajaran islam keseluruhannya. Jangan dipecah-pecahkan tanggungjawab ini hanya kepada mereka yang berada dalam bidang agama. Walaupun bagi mereka adalah orang yang lebih bertanggungjawab dalam soal-soal agama.

Namun, hari ini kita lihat dakwah tidak lagi menjadi mainstream dalam masyarakat. Ini kerana dalam suasana moden dan dunia globalisasi ini ia membentuk minda masyarakat untuk hidup lebih individualistik . Cuba kita perhatikan dalam konteks semasa masyarakat zaman 70an, 80 and dan masyarkat era abad 21 ini cukup berbeza. Mentaliti, gaya berfikir, kematangan yang jika diperhatikan secara tuntas memang amat berbeza. Kita tidak menolak perbezaan ini kerana geografi yang berubah, sistem yang berubah tetapi apakah nilai yang telah dikongsi yang menjadi teras masyarakat kita sebelum ini juga harus berubah selari dengan perubahan fizikal?

Mengapa kita harus akur dengan perubahan fizikal , infrastruktur ini sengaja membiarkan minda kita juga turut hanyut mengenepikan nilai budaya islam, teras ruhani, asas-asas nilai masyarakat yang mana kalau itu dipertahankan kita yakin bahwa isu sosial tidak akan meningkat sebegini hebat seperti hari ini.

Penulis bukan anti kepada kemajuan tetapi peneraju kepada kemajuan harus lebih peka bukan sahaja memberi fokus kepada sektor pembangunan fizikal tetapi juga membina daya minda umat, menyediakan prasarana untuk menyekat anasir-anasir yang boleh merosakkan mata hati masyarkat.

Oleh sebab itu, Islam sememangnya dari dahulu lagi menekankan bahawa usaha-usaha untuk memperksa masyarakat tidak harus dikesampingkan jika tidak pembangunan yang ada pada hari ini akan menjadi rosak. Dakwah dala konteks moden juga harus diperkasa. Golongan muda harus dibimbing pemikiran mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat. Media samada, perdana, nasional, media cetak, media elektronik harus bertanggungjawab dalam mengeluarkan bahan dan berita kepada massa.

Antara Berilmu dan Berhikmah

Hari ini ramai orang berilmu tetapi hendak peroleh orang berhikmah cukup susah. Ini kerana senang nak jadi orang berilmu sekiranya kita ikuti sistem belajar. Namun kalau ditinjau dari segi tartibul ilm (tertib ilmu) jika orang yang menuntut ilmu itu memahami akan mengapa mereka menuntut ilmu disitu sendiri telah wujudnya kefahaman dalam erti kata lain asas hikmah dalam diri telah wujud. Ilmu dan hikmah tidak boleh dipisahkan. Namun dalam zaman sekarang manusia sendiri yang memisahkan antara keduanya. Kalau kita lihat para ilmuan kita yang lampau, bilama mana mereka tampil sebagai ilmuan, ulama, sentuhan mereka, ilmu mereka dapat dirasai walaupun mereka telah tiada dimuka bumi ini. Inilah antara tanda-tanda ikhlas dan hikmah dalam konteks kehidupan.

Cuba kita teropong dunia ilmuan kita hari ini, bukan hendak mencari kelemahan namun sebagai renungan. Betapa ramainya golongan terpelajar dari dalam dan luar negeri, ilmu di dada cukup hebat, petah berkata-kata, punya pengaruh yang besar, namun disebalik itu kita perhatikan dimana kejujuran yang ditakhtakan kalau dalam diri wujud perasaan mengangkat diri, jawatan, menggunakan kekurangan orang lain untuk kepentingan diri , berpendirian yang kurang konsisten...inilah cabaran yang harus dimainkan. Realiti yang harus ada bukan bermakna golongan ilmuan tidak boleh tampil maju dan hebat tetapi kerana budaya dan suasana yang mempengaruhi telah memungkinkan sesiapa sahaja akan terpengaruh dengan kesenangan dunia ini dengan mengenepikan sikap tawaduk, ikhlas, jujur dalam beramal, mempunyai sikap tolak ansur dalam ilmu dan sebagainya.

Kita perhatikan juga, dimana hikmahnya golongna ilmuan jika dalam dunia akademik secara khusus menggunakan label dan pengaruh untuk cemerlang. Istilah doktor, profesor itu adalah anugerah cukup bermakna dalam proses mendidik dan mengembang ilmu. Bukan semata mengembang perniagaan dan pengaruh politik semata. Golongan ilmuan yang dikatakan hebat juga kadangkala tersingkir dari landasan hikmahnya bila mana sikap dan etika keilmuan diperdagangkan. Pelajar tidak lagi dianggap sebagai murid atau pelapis ilmu tetapi cukuplah untuk lulus dalam peperiksaan dan keluar dengan cemerlang dengan segolong ijazah yang mana keutuhan ilmunya masih boleh dipertikai.

Bukan mudah sebenarnya nak lahir ilmuan yang berhikmah, mempunyai nilai diri, jiwa yang cenderung untuk mengangkat martabat umat, tidak mudah menggadai prinsip ilmu dan sentiasa berfikiran terbuka dalam meneroka bidang yang semakin mencabar. Jiwa murabbi itu sebati untuk menjadi ikutan (qudwah) dalam segenap lapisan umat

Benarkah Realiti TV satu Realiti?

Nampaknya hari ini kita sering dihidangkan dalam media massa tentang program realiti TV yang pelbagai. Bahkan sekarang ini, begitu ramai sekali peminatnya yang mencecah hampir jutaan khususnya dikalangan golongan remaja. Ini seolah-olah semacam satu agenda untuk mengejutkan golongan muda untuk maju dan tampil kehadapan serta menonjolkan pelbagai minat, kebolehan dan membentuk kecenderungan untuk berada di dalam dunia glamor. Apakah ini satu usaha yang positif ? Mungkin ada pihak akan menyatakan bahawa ianya positf dalam pelabagai aspek namun untuk jangka panjang sejauh manakah rancangan ini benar2 mampu membina minda golongan muda untuk menjadi pemimpin masa akan datang.Kita lihat dikalangan golongan ulama tempatan di Malaysia juga merasa bimbang dengan senario ini. Sekiranya langkah2 tidak diambil segera termasuk keprihatinan kerajaan khususnya agensi yang terlibat dalam menjayakan misi realiti tv ini haruslah segera dilakukan. Janganlah kerana perniagaan dan dunia glamor yang semakin berleluasa ini diperhebat namun jatidiri golongan muda kepada misi dan masa depan negara diabaikan. Bagaimana kalau kita nak lihat golongan muda yang hebat dari segi minda, akal fikiran, jatidiri yang mantap kalau hidup mereka hanya dihidangkan dengan perkara2 glamor, tidak memikirkan pendidikan, ilmu, dan masa depan.

Tuesday, April 24, 2007

Sajak Buat Muhammad SAW

Salam AtasMu Ya Rasulullah SAW

Salam atasmu Wahai Perhiasan Para Nabi Salam atasmu Wahai Nabi Yang Paling Bertaqwa Salam atasmu Wahai Nabi Yang Paling Suci Salam atasmu daripada Tuhan empunya langit Salam atasmu selama-lamanya tanpa kesudahan Salam atasmu Wahai Ahmad Kekasihku Salam atasmu Wahai Thoha Penawarku Salam atasmu Wahai Kasturi dan Wangianku Salam atas Ikutan Yang Paling Utama Salam atas Nabi Yang Dimahkotakan Dengan Kemuliaan Salam atas Nabi Yang Dinaungi Awan Salam atas Nabi Pemberi Syafaat Pada Hari Kiamat

(2)
Meskipun zahir bentuk bashari, Batinnya bangsa terlalu safi,Kerana peri haknya ruhaniPernah berkata lisannya murni:
Sebagai nabi aku terkandungDalam rahasia di Balai Agung,Padahal Adam masih terapungAntara air dan tanah lempung.Meskipun rupaku anak Adam, Darjatku asal terlebih kiram.
Tatkala Adam belum teringat,Tatkala Kalam belum bersuratDan Papan tulis belum tercatat,Sudah terpandang oleh kunhi ZatSeri wajahku di dalam mirat.
Sinaran sani cahaya kamalat,Pancaran murni asma dan sifat,Rumusan seni segala makhlukatYang zahir pada cermin hakikatDalam diriku semua terlibat.
(Puji-pujian Ke Atas Junjungan Besar Nabi Muhammad salla’ Llahu alayhi wa sallam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku Risalah Untuk Kaum Muslimin)

Artikel yang dibentangkan semasa program dibulan Zulhijjah 1427H- Moga ada manfaatnya

Pendahuluan

Istilah korban sering diungkapkan oleh ramai orang yang membawa erti suatu pemberian dan tanda sumbang sesuatu dengan satu makna yang tersendiri. Dalam budaya dan adat melayu elemen korban adalah suatu sikap yang cukup murni yang mencerminkan kebaikan dan keupayaan menyumbang untuk diri dan orang lain. Istilah yang hebat ini amat penting dalam membentuk budaya pemikiran dan kotak minda masyarakat bahawa setiap insan mempunyai nilai dan keperibadian yang tersendiri yang mampu membentuk masyarakat yang mempunyai daya sumbang. Apabila elemen korban menjadi teras dalam diri maka akan terjelma lah sikap saling bantu membantu, tolong menolong dalam ertikata sebenarnya. Istilah seperti “berkorban apa sahaja, harta atau nyawa”, menjadi ungkapan yang cukup sinonim sebagai satu manifestasi kebaikan. Namun apa yang harus kita fahami dalam konteks ini adalah apakah garis panduan, tahap dan kayu ukur pengorbanan yang boleh dan sepatutnya kita lakukan sebagai manusia umumnya dan sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.

Islam dan Pengorbanan

Dalam Islam, sejak dari zaman awal lagi telah membicarakan makna dan falsafah korban dengan begitu mendalam. Sejarah Awal Islam bermula dengan peristiwa penyembelihan Nabi Ismail yang sering kali dibicarakan dalam Al-Quran menjadi teras awal pengangkatan elemen pengorbanan dalam sejarah awal Islam. Bagaimana Ayahanda baginda, Nabi Ibrahim yang diuji oleh Allah SWT dengan tugas menyembelih anak kesayangannya telah memungkinkan satu ketaatan yang tidak berbelah bahagi sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Penciptanya. Apakah istilah ‘korban’ diungkap oleh Al-Quran ini dengan memberi konotasi menyembelih sebagai satu makna korban atau ianya sebagai satu perbandingan untuk membuktikan ketaatan sebagai manusia yang mensyukuri akan nikmat Allah Taala. Begitu banyak sebenarnya ‘ibrah (sebalik makna) dalam peristiwa korban Nabi Ibrahim Alaihis salam jika ingin kita jelaskan.

Namun setelah berabad peristiwa korban ini berlaku dan dinukilkan oleh Allah dalam Al-Quran, kita sebagai manusia akhir zaman sering menjadikan ianya sebagai peristiwa semata-mata. Anak-anak dibentangkan dengan sejarah yang begitu tinggi yang menjadikan kita umat Islam begitu bangga dengan kehebatan sejarah Awal tokoh Islam Nabi Ibrahim Alaihis salam. Namun apakah kita umat akhir zaman benar-benar dapat menyelusuri bagaimanakan sejarah yang begitu besar mampu menjadi pegangan dan amalan hidup kita sebagai umat pada hari ini. Bagaimana sejarah yang kita agungkan ini dapat diterjemahkan sebagai praktis harian kita untuk kita benar-benar menyegarkan Ruhul Islam dalam hidup seharian kita.

Mari sama-sama kita hayati peristiwa pengorbanan yang dirakamkan oleh Allah Taala di dalam surah As-Saafaat ayat : 102-109














Maksudnya :
“ Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama denganya, Nabi Ibrahim berkata: “ Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu, anaknya menjawab: ‘ Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar. Setelah keduanya telah berserah bulat-bulat ( menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim A.S. merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tumpuk tanah (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu – telah menjalankan perintah Kami, serta Kami menyerunya, “ Wahai Ibrahim! engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata, dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. “ Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim”.

Oleh yang demikian. Marilah kita menghayati erti pengorbanan dengan mengamalkan sikap suka berkorban dalam apa jua bidang bila diperlukan. Sesungguhnya betapa mulianya bila kita membudayakan sikap suka berkorban berdasarkan kemampuan masing-masing terutamanya demi kemaslahatan ummah sejagat seperti :

1. Pengorbanan ilmu bagi orang yang berilmu dalam usaha membina ketamadunnan ummah.

2. Pengorbanan akal fikiran dalam melahirkan masyarakat yang bijaksana.

3. Pengorbanan harta benda dan tenaga bagi membantu orang yang memerlukan bantuan sebagai usaha bagi mewujudkan hubungan baik dengan sesama manusia.

4. Pengorbanan masa untuk melaksanakan perintah Allah walau dalam apa keadaan sekalipun bagi memelihara hubungan baik dengan Allah Taala.

5. Pengorbanan jiwa dan raga sebagaimana yang dilakukan oleh angkatan tentera demi menjaga keamanan dan keselamatan negara serta masyarakat.

Kepentingan Qurban

Semua bentuk pengorbanan tersebut sangat dituntut dalam Islam demi kesinambungan hidup dan kesejahteraan ummah di dunia dan di akhirat sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah : ayat 272 :







Maksudnya :
“……… dan apa sahaja harta yang halal yang kamu belanjakan ( pada jalan Allah), maka (faedah dan pahalanya) itu untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidak mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”

Mudah-mudahan kita semua dapat menyedari dan berusaha mencontohi pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. bersama anaknya. Itulah satu-satunya contoh yang tidak ada tolak bandingnya di dalam sejarah kehidupan manusia di dunia ini. Seseorang ayah sanggup mengorbankan anak kesayangannya demi melaksanakan perintah Allah walaupun perbuatan itu bertentangan dengan jiwa dan kemahuannya. Akan tetapi demi ketaqwaan dan ketaatannya kepada Allah Taala mengatasi segala-galanya, maka ia bersedia melaksanakan perintah tersebut dengan penuh kesabaran dan ketakwaan. Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan mendapat keberkatan dari Allah Taala dan kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang bersyukur.

Firman Allah Taala dalam surah ِAl-Haj : Ayat – 37






Yang bermaksud :

“ Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas dan berdasarkan takwa dari kamu ”.

Dakwah dan Pengorbanan : Satu Tugas Mulia

Dakwah Islamiah adalah satu tugas mulia yang telah dimulakan oleh Nabi-nabi sebelum ini sebagai satu amanah besar yang diperintahkan oleh Allah Taala. Justeru memahami dakwah sebagai tugasan dan warisan yang kita lakukan daripada mata rantai perjuangan harus dilihat sebagai satu tugasan yang cukup mulia. Disebalik babak perjuangan dakwah Nabi-nabi , kita diperlihatkan akan pelbagai mehnah dan tribulasi yang memberi satu kekuatan dalaman untuk terus maju kehadapan. Tekanan demi tekanan, yang dilemparkan kepada perjuangan dakwah sebelum ini juga adalah satu lumrah yang akan diterima bila kita bersedia berada digelanggang dakwah. Sememangnya medan dakwah banyak melatih jiwa berkorban. Tanpa kesedaran ini maka kita tidak mampu untuk pergi lebih jauh ke hadapan untuk menjadi manusia terbaik di sisi Allah. Berapa ramai para pejuang islam yang sanggup melaksanakan tuntutan dakwah yang akhirnya terkorban demi Islam semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Begitu jua lah kita pada hari ini walaupun mungkin tidak sampai kepada mehnah sedemikian namun medan dakwah tetap mempunyai liku-liku yang tersendiri.

1) Pengorbanan Ilmu

Sebagai pendakwah Ilmu adalah senjata untuk tampil sebagai manusia mulia di sisi Allah Taala. Kita berjuang, kita berdakwah bukan hanya mengajak manusia untuk bersama-sama kita tanpa ilmu. Sebagai pendakwah, ilmu bukan milik kita. Ilmu yang kita miliki adalah hak milik Allah Taala. Sebab itulah pendakwah yang mulia, tidak kedekut ilmu, mudah memberi orang lain panduan atas ilmu yang dimilikinya. Tidak merasa ilmunya berkurangan semata-mata diberikan kepada orang lain. Bahkan pendakwah yang hebat merasa, sebanyak mana ilmunya diberikan kepada orang lain, semakin ilmunya bertambah dan pada ketika itulah ilmunya diuji oleh Allah akan kekuatannya.

2) Pengorbanan Masa

Untuk menggerakan ilmu Islam berkembang melata diseluruh pelusuk dunia ini, di mana-mana sahaja kita memerlukan perancangan yang teratur. Dalam kehidupan yang kita lalui hari ini, begitu banyak sekali perkara yang kita harus lakukan samada untuk diri, untuk keluarga dan untuk masyarakat. Mana mungkin kita hendak melihat Islam berkembang dengan hanyak kita menumpukan tugas untuk diri dan keluarga kita sahaja. Pendakwah yang berjaya mestilah sanggup untuk memberi masanya untuk Islam dengan menyumbang untuk melakukan tugas-tugas Islam sebaik mungkin walaupun kadangkala terpaksa mengorbankan masa diri dan keluarga. Ini kerana pengorbanan masa untuk Islam akan digantikan oleh Allah dengan segala nikmat lain yang mungkin kita sendiri tidak sedari.

3) Pengorbanan Tenaga

Berkorban dalam ertikata sebenarnya memerlukan mujahadah yang konsisten dan tidak berbelah bahagi. Dalam setiap tindakan yang kita lakukan berkorban dari perspektif sebenar tidak akan mengenal erti letih dan penat terutama dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Ini kerana jika dibandingkan dengan usaha dan tindakan kita seharian dengan nikmat Allah maka amat jauh sekali. Kita tidak akan mampu membayar sewa nikmat Allah hanya dengan melafazkan syukur dengan Allah sahaja. Oleh sebab itu adalah menjadi satu kewajipan kita untuk bersama-sama berkorban tenaga kita yang ada pada hari ini untuk melaksanakan tuntutan agama di mana kita berada.

4) Pengorbanan Maruah

Semua orang boleh berkata dirinya untuk berkorban. Namun tidak semua orang boleh berkorban dengan prinsip dan maruah diri dan agama. Ini kerana untuk melahirkan insane yang mampu berkorban untuk agamanya ia bukan satu proses yang mudah. Kesedaran, keyakinan dan amalan harian membentuk dirinya untuk benar-benar berada dalam landasan perjuangan.

Impak Qurban kepada masyarakat : Satu Harapan

1) Masyarakat kenal diri

2) Kenal Agama

3) Saling membantu mengatasi masalah umat

4) Taat kepada perintah Allah SWT

5) Sentiasa berusaha membaiki diri, keluarga dan masyarakat

Penutup

Akhir sekali, untuk mencapai kejayaan abadi di dunia dan akhirat, kita perlu :

Berkorban kepentingan-kepentingan kebendaan yang bersifat sementara. Semangat perjuangan mesti dibentuk dengan membina sifat mahu berjihad dan sedia berkorban. Kaum Muslimin Mekah meninggalkan harta benda dan keselesaan hidup di sana demi memburu keadilan dan kebenaran. Mereka mencapai kemenangan yang hakiki dan menikmati ukhuwah yang sebenarnya yang didirikan di atas dasar iman dan taqwa.

Memandangkan ke dalam dan berintrospektif menanyakan apa yang sedang berlaku kepada umat manusia sekarang? Realitinya ialah manusia semakin jauh dari bimbingan Allah, semakin luntur keimanannya terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah. Di antara sebab yang membawa kepada kelalaian kita ialah kecintaan yang melampau kepada kehidupan di dunia, dan kebencian terhadap maut dan alam akhirat.

Marilah kita bersama-sama mempersiapkan diri kita untuk menghadapi masa penentuan ajal dengan meletakkah niat yang betul di dalam hati kita dalam segala hal. Dalam semua usaha kita, hendaklah kita hanya mengharapkan keredhaan Allah. Semangat ibadah qurban ialah ialah sebagai satu tunggak kekuatan iman kita kepada Allah s.w.t. kita boleh membuktikan keimanan dengan mematuhi segala perintah Allah dan menghadapi kesusahan dengan kesabaran dan kesungguhan.

Ilmu Dasar kekuatan insan

Sesiapa pun yang hadir dan berdepan dengan manusia di muka bumi ini akan dinilai kekuatan jika dia orang berilmu. Kalau tidak mereka tidak akan survive untuk maju kehadapan. Malahan Allah Taala sendiri memberi kredit yang cukup besar bagi orang yang berilmu. Golongan yang menggunakan akal fikiran untuk maju serta merencana aktiviti berdasarkan ilmu akan diganjari Allah dengan pahalanya.

Cuma hari ini kita lihat suasana sudah semakin mencabar. Golongan ilmuan jarang sekali menjadi rujukan untuk merencana sesuatu perkara. Yang lebih ditekan hanyalah mereka yang glamor, mempunyai bakat semula jadi , mampu menarik orang lain untuk lebih berhibur. Di mana silapnya keadaan ini. Mari kita lihat kembali bagaimana keadaan ini akan terus menjadi barah jika ilmu diketepikan.

Fikir-fikirkanlah

Salam ilmu

Salam penuh tawaduk kepada sesiapa yang membaca blog ini. moga ianya sebagai permulaan untuk mengembangkan ilmu dan menyebarkan maklumat serta berkongsi pengalaman bersama.