Wednesday, December 26, 2007

Menghayati intipati korban

DALAM kita melaksanakan ibadah korban, berjuta saudara Muslim yang lain pula berkorban wang ringgit, tenaga serta masa mereka untuk menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Ketika ini, berjuta umat Islam sedang berkumpul di Mekah al-Mukarramah untuk mengerjakan ibadah haji. Mereka ini terdiri daripada mereka yang mempunyai kemampuan dari segi wang ringgit, fizikal, mental dan rohani.
Walaupun mereka berlainan warna kulit dan rupa, berbeza darjat dan keturunan, serta berbeza dari segi latar sosioekonomi. Namun demikian, mereka datang dengan satu matlamat iaitu beribadah kepada Allah s.w.t dengan membesar dan mengagungkan-Nya.
Para jemaah haji yang kini berada di Tanah Suci memakai ihram melambangkan keseragaman dan kesamaan, mereka membenamkan segala sifat takbur dan taksub demi menjadi umat yang satu. Di sinilah, semangat kesamaan dan persaudaraan sesama manusia ditunjukkan dan dihayati untuk menghasilkan dan menzahirkan satu kesatuan ummah yang paling hebat.
Di sebalik kedua-dua peristiwa ini iaitu peristiwa korban dengan ibadah haji, tersemat dan terakam beberapa ciri penting yang melambangkan syiar Islam sebagai satu agama yang tulus, membina dan ihsan.
Pertama, peristiwa korban keluarga Nabi Ibrahim a.s menggambarkan betapa pentingnya jiwa yang kuat serta semangat kental untuk menjadi pejuang kepada diri sendiri dan masyarakat.
Kedua, perlunya jalinan ukhuwah yang kukuh berdasarkan takwa. Perpecahan di kalangan masyarakat disebabkan tiadanya ukhuwah sesama anggotanya membawa kepada kelemahan, perpecahan dan persengketaan.
Ketiga, setiap kejayaan dan kesenangan yang kita nikmati perlu didahului dengan usaha bersungguh-sungguh dan memerlukan pengorbanan. Kesediaan kita untuk berjihad dalam erti kata yang sebenarnya akan membawa kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Selain itu, untuk mengukuhkan kekuatan diri, masyarakat dan juga ummah, setiap individu perlu mempunyai jiwa tauhid. Ini bererti, kita memuja dan menyembah hanya kerana Allah s.w.t dan kita sanggup berkorban demi mencapai keredhaan-Nya. Bagi membentuk individu yang berkeperibadian dan mempunyai jiwa tauhid, kita perlu berkorban membendung kerakusan nafsu serakah yang ingin bertakhta dalam kehidupan individu bagi mengelakkan hati dan pemikiran dikaburi oleh segala macam kebendaan dan kemewahan yang bersifat keduniaan yang tidak kekal.
Untuk mencapai kejayaan abadi di dunia dan akhirat, kita perlu berkorban dengan mengetepikan kepentingan kebendaan yang bersifat sementara. Maka dengan itu, semangat perjuangan mesti dibentuk dengan membina sifat ingin berjihad dan sedia berkorban.
Dalam persoalan lain, kita perlu menanyakan apa yang sedang berlaku kepada umat manusia sekarang? Realitinya ialah manusia semakin jauh daripada bimbingan yang bersumberkan al-Quran dan as-sunah, semakin luntur keimanannya terhadap kebesaran dan kekuasaan-Nya lantaran kecintaan yang melampau kepada kehidupan dunia dan kebencian terhadap maut.
Dalam kehidupan seharian, kita sering dikaburi kemewahan, keselesaan, kesihatan, pangkat dan kedudukan, sehinggakan kita lupa segala yang kita miliki hanyalah pinjaman daripada Allah s.w.t. Ini menyebabkan masih ramai umat Islam yang tidak mengendahkan perintah berzakat kerana takut hartanya berkurangan, sedangkan masih terdapat di kalangan masyarakat kita yang hidup dalam kemelaratan dan hidup dalam kedaifan.
Maka dengan sebab itulah, sebagai umat Islam kita berkewajipan memanifestasikan semangat ibadah korban ini dalam kehidupan bermasyarakat. Pada hakikatnya, ibadat korban itu mempunyai banyak hikmah yang tidak terhingga. Di sinilah letaknya kekuatan dan kecemerlangan umat Islam sejati. Terkandung padanya sifat-sifat luhur seperti ketaatan, kesabaran, kesatuan, tolong-menolong dan prihatin terhadap semua insan.
Soal memajukan pendidikan, membangunkan ekonomi, membanteras keruntuhan akhlak dan menyekat gejala sosial adalah soal-soal kehidupan hari ini yang menjadi tanggungjawab kita bersama. Untuk mencapai huraian mutlak bagi permasalahan masyarakat Islam kita hari ini, kita perlu disedarkan tentang peranan kita yang sebenar selaku hamba Allah s.w.t dan sebagai anggota masyarakat. Langkah-langkah perlu dimulakan untuk menyedarkan manusia akan peri pentingnya sifat-sifat kemanusiaan dalam diri setiap individu melalui peristiwa korban.
Ini kerana falsafah korban itu sendiri merupakan suatu sifat yang terpuji di sisi Allah s.w.t kerana ia lahir daripada sanubari yang suci, bukan didorong oleh nafsu dan keinginan yang menyimpang dan menyeleweng. Oleh kerana sifat ini lahir dari tempat yang suci, maka ia akan berterusan wujud pada setiap diri atau jiwa yang benar-benar menginginkan sesuatu yang diredhai oleh Allah s.w.t.
Oleh kerana itu, melalui peristiwa ini, maka setiap umat Islam perlulah mengambil iktibar dengan sebaik mungkin untuk memikir dan merenung mengapa kita perlu berkorban dalam hidup ini. Kita bukan saja dituntut untuk melakukan pengorbanan pada Hari Raya Aidiladha, malah jauh daripada itu untuk sanggup berkorban dalam melakukan apa saja tindakan dan perbuatan seharian selagi tidak tergelincir daripada landasan agama Islam.

Rujukan : http://ttuyup.wordpress.com/2006/12/22/menghayati-inti-pati-falsafah-korban/

No comments: