Tuesday, April 24, 2007

Artikel yang dibentangkan semasa program dibulan Zulhijjah 1427H- Moga ada manfaatnya

Pendahuluan

Istilah korban sering diungkapkan oleh ramai orang yang membawa erti suatu pemberian dan tanda sumbang sesuatu dengan satu makna yang tersendiri. Dalam budaya dan adat melayu elemen korban adalah suatu sikap yang cukup murni yang mencerminkan kebaikan dan keupayaan menyumbang untuk diri dan orang lain. Istilah yang hebat ini amat penting dalam membentuk budaya pemikiran dan kotak minda masyarakat bahawa setiap insan mempunyai nilai dan keperibadian yang tersendiri yang mampu membentuk masyarakat yang mempunyai daya sumbang. Apabila elemen korban menjadi teras dalam diri maka akan terjelma lah sikap saling bantu membantu, tolong menolong dalam ertikata sebenarnya. Istilah seperti “berkorban apa sahaja, harta atau nyawa”, menjadi ungkapan yang cukup sinonim sebagai satu manifestasi kebaikan. Namun apa yang harus kita fahami dalam konteks ini adalah apakah garis panduan, tahap dan kayu ukur pengorbanan yang boleh dan sepatutnya kita lakukan sebagai manusia umumnya dan sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.

Islam dan Pengorbanan

Dalam Islam, sejak dari zaman awal lagi telah membicarakan makna dan falsafah korban dengan begitu mendalam. Sejarah Awal Islam bermula dengan peristiwa penyembelihan Nabi Ismail yang sering kali dibicarakan dalam Al-Quran menjadi teras awal pengangkatan elemen pengorbanan dalam sejarah awal Islam. Bagaimana Ayahanda baginda, Nabi Ibrahim yang diuji oleh Allah SWT dengan tugas menyembelih anak kesayangannya telah memungkinkan satu ketaatan yang tidak berbelah bahagi sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Penciptanya. Apakah istilah ‘korban’ diungkap oleh Al-Quran ini dengan memberi konotasi menyembelih sebagai satu makna korban atau ianya sebagai satu perbandingan untuk membuktikan ketaatan sebagai manusia yang mensyukuri akan nikmat Allah Taala. Begitu banyak sebenarnya ‘ibrah (sebalik makna) dalam peristiwa korban Nabi Ibrahim Alaihis salam jika ingin kita jelaskan.

Namun setelah berabad peristiwa korban ini berlaku dan dinukilkan oleh Allah dalam Al-Quran, kita sebagai manusia akhir zaman sering menjadikan ianya sebagai peristiwa semata-mata. Anak-anak dibentangkan dengan sejarah yang begitu tinggi yang menjadikan kita umat Islam begitu bangga dengan kehebatan sejarah Awal tokoh Islam Nabi Ibrahim Alaihis salam. Namun apakah kita umat akhir zaman benar-benar dapat menyelusuri bagaimanakan sejarah yang begitu besar mampu menjadi pegangan dan amalan hidup kita sebagai umat pada hari ini. Bagaimana sejarah yang kita agungkan ini dapat diterjemahkan sebagai praktis harian kita untuk kita benar-benar menyegarkan Ruhul Islam dalam hidup seharian kita.

Mari sama-sama kita hayati peristiwa pengorbanan yang dirakamkan oleh Allah Taala di dalam surah As-Saafaat ayat : 102-109














Maksudnya :
“ Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama denganya, Nabi Ibrahim berkata: “ Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu, anaknya menjawab: ‘ Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar. Setelah keduanya telah berserah bulat-bulat ( menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim A.S. merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tumpuk tanah (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu – telah menjalankan perintah Kami, serta Kami menyerunya, “ Wahai Ibrahim! engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata, dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. “ Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim”.

Oleh yang demikian. Marilah kita menghayati erti pengorbanan dengan mengamalkan sikap suka berkorban dalam apa jua bidang bila diperlukan. Sesungguhnya betapa mulianya bila kita membudayakan sikap suka berkorban berdasarkan kemampuan masing-masing terutamanya demi kemaslahatan ummah sejagat seperti :

1. Pengorbanan ilmu bagi orang yang berilmu dalam usaha membina ketamadunnan ummah.

2. Pengorbanan akal fikiran dalam melahirkan masyarakat yang bijaksana.

3. Pengorbanan harta benda dan tenaga bagi membantu orang yang memerlukan bantuan sebagai usaha bagi mewujudkan hubungan baik dengan sesama manusia.

4. Pengorbanan masa untuk melaksanakan perintah Allah walau dalam apa keadaan sekalipun bagi memelihara hubungan baik dengan Allah Taala.

5. Pengorbanan jiwa dan raga sebagaimana yang dilakukan oleh angkatan tentera demi menjaga keamanan dan keselamatan negara serta masyarakat.

Kepentingan Qurban

Semua bentuk pengorbanan tersebut sangat dituntut dalam Islam demi kesinambungan hidup dan kesejahteraan ummah di dunia dan di akhirat sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah : ayat 272 :







Maksudnya :
“……… dan apa sahaja harta yang halal yang kamu belanjakan ( pada jalan Allah), maka (faedah dan pahalanya) itu untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidak mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”

Mudah-mudahan kita semua dapat menyedari dan berusaha mencontohi pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. bersama anaknya. Itulah satu-satunya contoh yang tidak ada tolak bandingnya di dalam sejarah kehidupan manusia di dunia ini. Seseorang ayah sanggup mengorbankan anak kesayangannya demi melaksanakan perintah Allah walaupun perbuatan itu bertentangan dengan jiwa dan kemahuannya. Akan tetapi demi ketaqwaan dan ketaatannya kepada Allah Taala mengatasi segala-galanya, maka ia bersedia melaksanakan perintah tersebut dengan penuh kesabaran dan ketakwaan. Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan mendapat keberkatan dari Allah Taala dan kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang bersyukur.

Firman Allah Taala dalam surah ِAl-Haj : Ayat – 37






Yang bermaksud :

“ Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas dan berdasarkan takwa dari kamu ”.

Dakwah dan Pengorbanan : Satu Tugas Mulia

Dakwah Islamiah adalah satu tugas mulia yang telah dimulakan oleh Nabi-nabi sebelum ini sebagai satu amanah besar yang diperintahkan oleh Allah Taala. Justeru memahami dakwah sebagai tugasan dan warisan yang kita lakukan daripada mata rantai perjuangan harus dilihat sebagai satu tugasan yang cukup mulia. Disebalik babak perjuangan dakwah Nabi-nabi , kita diperlihatkan akan pelbagai mehnah dan tribulasi yang memberi satu kekuatan dalaman untuk terus maju kehadapan. Tekanan demi tekanan, yang dilemparkan kepada perjuangan dakwah sebelum ini juga adalah satu lumrah yang akan diterima bila kita bersedia berada digelanggang dakwah. Sememangnya medan dakwah banyak melatih jiwa berkorban. Tanpa kesedaran ini maka kita tidak mampu untuk pergi lebih jauh ke hadapan untuk menjadi manusia terbaik di sisi Allah. Berapa ramai para pejuang islam yang sanggup melaksanakan tuntutan dakwah yang akhirnya terkorban demi Islam semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Begitu jua lah kita pada hari ini walaupun mungkin tidak sampai kepada mehnah sedemikian namun medan dakwah tetap mempunyai liku-liku yang tersendiri.

1) Pengorbanan Ilmu

Sebagai pendakwah Ilmu adalah senjata untuk tampil sebagai manusia mulia di sisi Allah Taala. Kita berjuang, kita berdakwah bukan hanya mengajak manusia untuk bersama-sama kita tanpa ilmu. Sebagai pendakwah, ilmu bukan milik kita. Ilmu yang kita miliki adalah hak milik Allah Taala. Sebab itulah pendakwah yang mulia, tidak kedekut ilmu, mudah memberi orang lain panduan atas ilmu yang dimilikinya. Tidak merasa ilmunya berkurangan semata-mata diberikan kepada orang lain. Bahkan pendakwah yang hebat merasa, sebanyak mana ilmunya diberikan kepada orang lain, semakin ilmunya bertambah dan pada ketika itulah ilmunya diuji oleh Allah akan kekuatannya.

2) Pengorbanan Masa

Untuk menggerakan ilmu Islam berkembang melata diseluruh pelusuk dunia ini, di mana-mana sahaja kita memerlukan perancangan yang teratur. Dalam kehidupan yang kita lalui hari ini, begitu banyak sekali perkara yang kita harus lakukan samada untuk diri, untuk keluarga dan untuk masyarakat. Mana mungkin kita hendak melihat Islam berkembang dengan hanyak kita menumpukan tugas untuk diri dan keluarga kita sahaja. Pendakwah yang berjaya mestilah sanggup untuk memberi masanya untuk Islam dengan menyumbang untuk melakukan tugas-tugas Islam sebaik mungkin walaupun kadangkala terpaksa mengorbankan masa diri dan keluarga. Ini kerana pengorbanan masa untuk Islam akan digantikan oleh Allah dengan segala nikmat lain yang mungkin kita sendiri tidak sedari.

3) Pengorbanan Tenaga

Berkorban dalam ertikata sebenarnya memerlukan mujahadah yang konsisten dan tidak berbelah bahagi. Dalam setiap tindakan yang kita lakukan berkorban dari perspektif sebenar tidak akan mengenal erti letih dan penat terutama dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Ini kerana jika dibandingkan dengan usaha dan tindakan kita seharian dengan nikmat Allah maka amat jauh sekali. Kita tidak akan mampu membayar sewa nikmat Allah hanya dengan melafazkan syukur dengan Allah sahaja. Oleh sebab itu adalah menjadi satu kewajipan kita untuk bersama-sama berkorban tenaga kita yang ada pada hari ini untuk melaksanakan tuntutan agama di mana kita berada.

4) Pengorbanan Maruah

Semua orang boleh berkata dirinya untuk berkorban. Namun tidak semua orang boleh berkorban dengan prinsip dan maruah diri dan agama. Ini kerana untuk melahirkan insane yang mampu berkorban untuk agamanya ia bukan satu proses yang mudah. Kesedaran, keyakinan dan amalan harian membentuk dirinya untuk benar-benar berada dalam landasan perjuangan.

Impak Qurban kepada masyarakat : Satu Harapan

1) Masyarakat kenal diri

2) Kenal Agama

3) Saling membantu mengatasi masalah umat

4) Taat kepada perintah Allah SWT

5) Sentiasa berusaha membaiki diri, keluarga dan masyarakat

Penutup

Akhir sekali, untuk mencapai kejayaan abadi di dunia dan akhirat, kita perlu :

Berkorban kepentingan-kepentingan kebendaan yang bersifat sementara. Semangat perjuangan mesti dibentuk dengan membina sifat mahu berjihad dan sedia berkorban. Kaum Muslimin Mekah meninggalkan harta benda dan keselesaan hidup di sana demi memburu keadilan dan kebenaran. Mereka mencapai kemenangan yang hakiki dan menikmati ukhuwah yang sebenarnya yang didirikan di atas dasar iman dan taqwa.

Memandangkan ke dalam dan berintrospektif menanyakan apa yang sedang berlaku kepada umat manusia sekarang? Realitinya ialah manusia semakin jauh dari bimbingan Allah, semakin luntur keimanannya terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah. Di antara sebab yang membawa kepada kelalaian kita ialah kecintaan yang melampau kepada kehidupan di dunia, dan kebencian terhadap maut dan alam akhirat.

Marilah kita bersama-sama mempersiapkan diri kita untuk menghadapi masa penentuan ajal dengan meletakkah niat yang betul di dalam hati kita dalam segala hal. Dalam semua usaha kita, hendaklah kita hanya mengharapkan keredhaan Allah. Semangat ibadah qurban ialah ialah sebagai satu tunggak kekuatan iman kita kepada Allah s.w.t. kita boleh membuktikan keimanan dengan mematuhi segala perintah Allah dan menghadapi kesusahan dengan kesabaran dan kesungguhan.

No comments: