Thursday, April 26, 2007

Tawhid panduan hidup

Kalimah Tauhid yang menjadi asas kekuatan umat adalah perkara yang cukup penting dalam mengisi dan memantapkan jati diri umat. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini. Nilai dan kekuatan umat kita dari mula lagi adalah memastikan perkara asas Tauhid dan kefahamannya benar-benar bersumberkan kepada Al-quran dan Al-Sunnah yang menjadi paksi kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Justeru itu, kita harus kembali membuat penilaian dan pembaikan diri kita dengan membuka dimensi baru agar umat kita membina kefahaman tauhid ini dengan amalan-amalan islami yang berdasarkan kepada ajaran Islam bersumberkan kepada peringatan Baginda Nabi SAW. Jika kita benar-benar memahami kepentingan memahami elemen tauhid dan menjadikannya amalan hidup kita maka saya yakin dan percaya kita bersedia dan dapat melahirkan generasi yang berkualiti.Marilah kita bermula pada hari ini sama-sama mempertajamkan ilmu kita dengan mendalam elemen tauhid dan aqidah, agar diri kita sebagai pendakwah tidak berada dalam suasana yang tidak konsisten sebelum berhadapan dengan cabaran dan realiti masyarakat yang akan kita hadapi nanti. Barangkali kita semakin alpa bahawa nilai dan kekuatan yang telah kita lalui sebelum ini adalah sangat menitikberatkan persoalan pengurusan , program, imej dan pentadbiran. Namun kita semakin tertinggal untuk membicarakan tugas kita sebagai pembawa risalah Nabi, menjelaskan kebenaran dan keadilan, memerlukan kepada bukan sahaja kekuatan luaran tetapi lebih daripada itu adalah kekuatan ruhani dan dalaman yang mana jika ia tidak diambil peduli bakal memberi kesan yang negatif kepada umat kita. Oleh itu marilah kita mulakan langkah dengan mempertingkatkan kualiti dalaman ahli dan pimpinan dengan mendekatkan diri dengan Tilawah al-Quran, pemahaman dan tafsiran yang bersifat haraki agar kefahaman tidak hanya berhenti setakat di minda tetapi terjelma dengan perbuatan. Marilah kita menanam iltizam untuk mempertingkat amalan-amalan solat-solat sunat, qiyamullail yang merupakan asas kekuatan yang hanya dapat dirasa bagi mereka yang melakukanya. Telah banyak peristiwa dan sejarah yang dinukilkan dalam kitab-kitab sirah di mana Allah Taala telah memberi kejayaan kepada hambanya yang sentiasa merancang dan merencana agenda perjuangannya dan sentiasa mendekatkan diri dengan aktiviti kerohanian. Begitu juga kita pernah mendengar bagaimana Allah menewaskan dikalangan hambanya yang menjauhkan diri daripada Nya dari pada kejayaan yang sepatut menjadi hak mereka. Apakah kita tidak pernah menilai akan hakikat dan realiti yang dijelaskan tersebut.

Sayid Abul ‘Ala al-Maududi dalam bukunya Beberapa Peringatan untuk para dai menyebutkan bahawa betapa elemen Tauhid yang menjadi asas kekuatan iman seseorang itu tidak boleh dijadikan perkara kedua dalam hidup. Sebagai daei kita harus memahami terlebih dahulu kepentingan dalam hubungan kita dengan Allah. Jangan kita sentiasa hanyut dengan ujian dunia dan hampir menenggelamkan kefahaman kita dengan Tuhan semesta Allah.Oleh yang demikian, sahabat sekelian, bermula pada kali ini marilah kita sama-sama menanamkan azam untuk membina kefahaman kita dalam konteks Aqidah dan Tauhid kita kepada Allah -dengan mempelajari ilmu-ilmu tauhid dengan tokoh-tokoh kita yang cukup baik. Janganlah kita sentiasa merasa cukup dengan ilmu yang ada semata-mata, namun harus ada jiwa untuk meningkatkan kualiti kerohanian dalam hidup berjamaah.

No comments: