Tuesday, July 10, 2007

Jadilah penyambung risalah nubuwwah


Selalu orang merasa cukup berat untuk menyumbang kepada Islam atas sebab-sebab peribadi. Ada juga yang kadang-kadang mencari alasan untuk tidak menyumbang dengan pelbagai alasan yang kalau diteliti mempunyai hujah yang cukup dangkal. Tapi bagi kita yang memahami akan keperluan dalam berdakwah ini, tidak kira dimana kita berada, kita tetap akan menyumbang walaupun sedikit. Ilmu yang kita perolehi selama ini sememangnya tidak cukup dan sentiasa memerlukan peningkatan, namun ianya tidak akan terlaksana jika kita menanti ilmu di dada telah penuh barulah usaha dakwah itu dilaksanakan. Memang tidak dinafikan ilmu penting dalam berdakwah tetapi metod ilmu itu pelbagai. Ada ilmu formal yang diperolehi secara rasmi melalui pendidikan formal disekolah, IPT, Universiti dan sebagainya. Namun tidak juga dinafikan bahawa ilmu yang diluar daripada lingkungan ini juga cukup luas untuk membina jiwa daie untuk mendepani umat. Imam Hassan Al-banna selalu menyatakan dalam tulisannya bahawa jika kita hendak berdakwah , kita harus mendidik jiwa untuk sentiasa mengingati akan tanggungjawab ini adalah tuntutan daripada risalah rasul. Kita tidak dapat berjumpa rasul namun kita dapat melaksanakan tugas dan meneruskan amanah rasul walaupun baginda telah meninggalkan kita ribuan tahun lalu.


Inilah definisi dan semangat yang sering menjadi motivasi dalam diri, tidak kira dimana saya berada. Dalam keterlibatan dalam aktiviti dakwah kita dilatih untuk sentiasa menyumbang walaupun hanya dengan menyediakan tenaga, wang ringgit, buah fikiran yang pastinya tidak akan mampu dilakukan sepenuhnya. Yang penting kita harus berperanan. Jangan asyik berdalik dalam berdakwah. Jangan asyik beralasan untuk tidak berada dalam kerangka dakwah. Umur kita tidak pasti sampai bila, jangan lepaskan peluang ini untuk menjadi penyambung risalah nubuwwwah untuk masa akan datang.

No comments: